DAP sokong cetak sejuta al-Quran, tindakan tepat balas kebiadapan Paludan

DAP sokong cetak sejuta al-Quran, tindakan tepat balas kebiadapan Paludan

NAIB Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan supaya mencetak sejuta al-Quran dan mengedarkan ke seluruh dunia sebagai tindak balas pembakaran kitab suci itu baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tepat bagi membalas perbuatan biadab ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar al-Quran.

“Bila orang lain cuba rosak dan meroboh, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar membina.

“Tindakan tepat dan pantas. #MalaysiaMadani #strongertogether,” ciap Kor Ming di Twitter yang turut memuat naik sebuah poster berkaitan arahan Perdana Menteri itu.

Anwar semalam mengarahkan serta-merta operasi mencetak sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.

Ia sebagai reaksi balas kepada tindakan biadab Paludan membakar al-Quran di Sweden baru-baru ini.

Proses cetakan al-Quran itu akan dilaksanakan Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya.

“Dia (Rasmus Paludan) bakar satu al-Quran, tapi Insya-Allah melalui Yayasan Restu kita akan berusaha secara berperingkat untuk mengeluarkan satu juta al-Quran.

“Saya setuju bahawa cara paling berfaedah untuk menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini adalah dengan meneruskan usaha yang sudah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat secara berperingkat untuk mencetak dan mengedar satu juta al-Quran ke seluruh dunia,” katanya seperti dilaporkan media semalam.

Sabtu lalu, Paludan iaitu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, membakar al-Quran dengan pemetik api.

Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

Komen