Hajiji ketuai Gagasan Rakyat, parti baharu dalam GRS
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan mengetuai sebuah parti politik baharu yang dikenali Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, Gagasan Rakyat yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di Sabah.
Bekas Ketua Pimpinan Bersatu Sabah itu menjelaskan, Gagasan Rakyat juga telah diterima oleh GRS sebagai parti komponen pada 9 Disember 2022.
“Kita akan menggunakan parti ini sebagai platform untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, hari ini.
Hajiji berkata demikian mengulas perkembangan terkini mengenai parti baharu yang dinyatakan beliau sebelum ini, sejurus mengumumkan keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hajiji menjelaskan Gagasan Rakyat adalah sebuah parti sedia ada namun kini sudah diambil alih oleh pihaknya.
“Ini adalah parti yang sudah sedia ada dan kita hanya ambil alih sahaja,” katanya.
GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – Malaysiapost
Kredit foto: Astro Awani