KJ, Noh jangan ‘cabar-mencabar’ MKT Umno – Isham Jalil
BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta mereka yang dikenakan tindakan dinasihatkan supaya tidak mencabar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Disiplin.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, ini kerana sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka boleh memburukkan keadaan selain menyerlahkan keangkuhan mereka.
Menurutnya, pemecatan dan penggantungan pemimpin serta ahli Umno yang dipersetujui MKT kelmarin, adalah sah dari sisi perlembagaan parti.
Beliau berkata, rujukan dengan peguam mendapati, Perlembagaan Umno menyatakan proses pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada MKT.
“Proses lain yang membabitkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu hanya pengurusan dalaman yang dipraktikkan.
“Oleh itu, apabila MKT sudah memperakui pemecatan dan penggantungan ahli Umno, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan Umno dan undang-undang serta peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan daripada beberapa pihak terhadap tindakan Umno menggugurkan keahlian Noh dan Khairy pada Jumaat lalu.
Menurut Isham, kesemua mereka boleh merayu atau bertemu dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri dan yakin akan diberikan pengadilan yang adil sekiranya mempunyai bukti mereka tidak bersalah.
“Lembaga Disiplin Umno bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman kepada Noh dan Khairy ini bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati.
“Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya.
“Namun, saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ini akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Isham berkata, Umno terpaksa tegas terhadap ahli yang tidak mematuhi disiplin dalam parti kerana setiap organisasi perlu ada disiplin jika tidak akan berlaku anarki dan menjadi lemah serta mudah ditewaskan musuh.
“Persoalannya, adakah kita perlu menjadi lembut atau lembik dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa apa-apa tindakan?.
“Dalam hal ini kita perlu bertegas. Sebab Umno kini berada dalam masa yang penting untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang.
“Kita tidak boleh berjuang dan menentang musuh dalam perang jika ada duri dalam daging di tubuh,” katanya.
Isham turut memberi contoh bagaimana tentera Islam yang tidak berdisiplin dan hanya ingin mencari harta rampasan perang untuk diri sendiri tanpa menghiraukan arahan Rasulullah sehingga menyebabkan kalah dalam Perang Uhud.
“Walaupun Umno adalah parti politik dan bukan organisasi tentera yang mana hukuman tidak mendengar arahan dalam tentera adalah seberat hukuman mati, namun setiap individu dalam organisasi yang bukan tentera pun perlu ikut disiplin berorganisasi supaya organisasi sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah.
“Dan hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Isham yakin Lembaga Disiplin Umno telah membuat penelitian terhadap laporan-laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum menggantung keahlian Noh dan memecat Khairy serta 40 ahli Umno lain.
“MKT tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin. MKT kebiasaannya memperakukan saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes-kes disiplin yang melibatkan ahli-ahli parti,” katanya. – Malaysiapost