Nad, Ungku Ismail kini sah suami isteri
PASANGAN pelakon popular, Ungku Ismail Aziz dan Nad Zainal kini sah bergelar suami isteri pada 23 Januari lalu.
Menerusi hantaran dalam Instagram (IG), Nad mengesahkan kini bergelar isteri apabila memuat naik naik gambar bersama Ungku Ismail ketika majlis pernikahan berserta bukti mas kahwin berjumlah RM1,000.

“Alhamdulillah,” tulis Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, ringkas.
Nad yang memuat naik tiga gambar termasuk hantaran mas kahwin RM1,000 yang tertera namanya dan Ungku Ismail serta tarikh pernikahan pada 23 Januari lalu.

Terdahulu, Nad dan Ungku Ismail memberi bayangan sudah berkahwin apabila memuat naik hantaran video berpimpin tangan berjalan di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan dalam Instagram, pagi ini.
Menguatkan dakwaan kemungkinan mereka disatukan sebagai suami isteri pada tarikh dipaparkan iaitu 23 Januari lalu sempena 1 Rejab itu apabila rakan selebriti mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan mereka.
Sebelum ini, Ungku Ismail pernah mengakui Nad adalah wanita yang paling rapat dengannya.
Ketika Nad dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru November tahun lalu, Ungku Ismail antara selebriti yang banyak berkongsi perkembangan mengenai pelakon itu kepada peminat.
Dalam pada itu, pereka fesyen Seth & Luna turut berkongsi video persiapan Nad dan Ungku Ismail sebelum diijab kabul pada 23 Januari lalu.
“Diberi kepercayaan dan menyimpan rahsia terbesar adalah penghormatan atas tujuh tahun kami bersahabat.
“Beliau (Nad) mengetuk pintu kami untuk menyerahkan kepercayaan menyiapkan busana pernikahan dia dan bakal suaminya.
“Antara rahsia yang kami simpan dengan penuh rasa hormat.
“Pada hari ini, kami berdua dengan penuh bangga hati mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu Nad dan Ungku Ismail.
“Semoga mahligai perkahwinan dibina berbahagia dan berkekalan hingga ke jannah,” tulisnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah atas perkahwinan itu.
“Alhamdulillah tahniah Nanad,” tulis pelakon dan pengacara Elly Mazlein.
“Selamat berbahagia di dunia akhirat. Amin,” tulis pelakon Nur Fazura. – Malaysiapost