Nurul Izzah tak terima sebarang elaun – Anwar
DATUK Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.
Menurut Anwar, anak sulungnya itu tidak akan menerima sebarang elaun.
Menjelaskan mengenainya, Anwar berkata, beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
“Ya saya yang minta, pelawa dia untuk bantu tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepadanya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengesahkan beliau dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Ketika mengesahkan perkara itu dalam temu bual eksklusif dengan The Star, Nurul Izzah berkata, beliau memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Sementara itu Anwar berkata, individu yang dilantik, walau sebagai menteri, tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.
Perdana Menteri berkata, Nurul Izzah mempunyai dua ijazah iaitu yang berkaitan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.
“Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfolio) masing-masing. Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.
“Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Atau seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Tak pernah berlaku macam itu,” katanya. – Malaysiapost