Pembersihan Umno: 5 Ahli MKT bantah keputusan Zahid

Pembersihan Umno: 5 Ahli MKT bantah keputusan Zahid

LIMA Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan membantah keputusan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memecat dan menggantung beberapa pemimpin Umno, Jumaat lalu.

Mereka yang mempertikaikan keputusan tersebut ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Shabery Cheek; Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Reezal Merican dan Datuk Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Menurut The Star, mesyuarat MKT bermula dengan ucapan aluan Ahmad Zahid yang turut mengumumkan tindakan memecat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan menggantung bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar bersama beberapa pemimpin lain.

“Noh terus bangun mempertikaikan keputusan tersebut kerana beliau belum dipanggil untuk membela diri dan minta dipecat daripada digantung selama enam tahun.

“Ahmad Zahid kemudian bersetuju untuk memecat Noh,” kata sumber kepada The Star.

Sebaik sahaja mesyuarat dibuka kepada ahli, Ismail Sabri menegaskan bahawa pemecatan dan penggantungan tersebut dibuat tanpa mengikut proses dan peruntukan undang-undang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka yang berada dalam senarai tindakan disiplin perlu diberi surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum mendapatkan hak untuk membela diri, berdepan dengan Lembaga Disiplin dan membuat rayuan sebelum MKT membuat keputusan.

“Ismail Sabri berkata pemecatan dan penggantungan yang dibuat tanpa surat tunjuk sebab itu adalah tidak adil kerana mereka tidak boleh mempertahankan diri dan tidak mengetahui alasan mereka dikenakan tindakan.

“Beberapa Ahli MKT termasuk Shabery, Bung Moktar dan Arman Azha, turut bersuara tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana tidak mengikut perlembagaan Umno.

“Mereka menyatakan Umno akan berhadapan dengan reaksi negatif kerana tidak mengikut proses, ini akan menyebabkan undi protes terhadap Umno dalam pilihan raya nanti,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, sumber lain berkata, secara teorinya, di bawah Perlembagaan Umno, Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk menjadi otokratik.

Jumaat lalu, MKT Umno memutuskan untuk memecat Khairy dan Noh.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan pula digantung keahlian selama enam tahun.

Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama digantung keahliannya. – Malaysiapost

Komen