PM zahir ucapan takziah kepada keluarga Gopal Sri Ram

PM zahir ucapan takziah kepada keluarga Gopal Sri Ram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang meninggal dunia hari ini.

Anwar dalam ciapan di Twitter berharap agar urusan keluarga mendiang dipermudahkan dan mereka diberikan kecekalan berdepan saat ini.

“Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” ciapnya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang berusia 79, meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Kuala Lumpur.

Difahamkan, mendiang yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan minggu lalu bagi menerima rawatan, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Berita kematian Sri Ram disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

“Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini,” katanya.

Mendiang juga adalah pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram. – Malaysiapost

Komen