Puad orang pertama khianati Umno, dakwa pemimpin Pemuda
SEORANG pemimpin Pemuda Umno mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Mohd Puad Zarkashi sebagai ‘orang pertama khianati Umno’.
Ini kerana, menurut Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Umno, Syed Mohd Syed Nasir, Puad telah bertindak mendahului parti sehingga berlaku perpecahan.
“Puad mengumumkan nama-nama yang digantung serta dipecat mendahului parti sehingga terjadi perpecahan teruk dalam Umno.
“Puad melabel Fathul Bari sebagai antara ahli Umno yang digantung keahliannya oleh parti,” katanya menerusi hantaran kenyataan hari ini.
Terdahulu pegawai Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, Adnan Abu Bakar menerusi kenyataan meminta Puad memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan palsu dan mengelirukan berhubung status keahlian Fathul Bari dalam UMNO.
Menurut Adnan, kenyataan rasmi Umno tidak pernah menyebut nama Fathul Bari dalam senarai pemimpin parti itu yang diminta tunjuk sebab mahupun digantung.
Sementara itu Syed Mohd berkata, Puad yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit pernah menyatakan kepada Malaysiakini beliau mahu sabotaj dan melumpuhkan jentera Umno pada 23 April 2018.
“Puad pernah melabel Umno sebagai parti yang rosak kerana tidak dapat menjadi calon ketika PRU14 yang lalu.
“Ketika menjawat jawatan Ketua Pengarah JASA, Puad membekalkan banyak maklumat palsu kepada Datuk Seri Najib Razak,” dakwa Syed Mohd lagi. – Malaysiapost