Putra buka pintu kepada ahli Umno yang dipecat, digantung

Putra buka pintu kepada ahli Umno yang dipecat, digantung

PARTI Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) membuka pintu kepada semua ahli Umno yang dipecat dan digantung untuk menyertai parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pihaknya berlapang dada menerima sesiapa sahaja yang berhasrat menyertai parti itu asalkan Melayu, pribumi dan beragama Islam.

Katanya, bagaimanapun, mereka yang ada kes jenayah, sedang didakwa atau dalam perbicaraan dan belum dibebaskan oleh mahkamah, tidak diterima.

“Bekas ahli Umno wajar pilih Putra kerana semangat asal penubuhan parti ini adalah untuk menjadi wadah parti pilihan kepada orang Melayu sebagai kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu-Islam.

“Perjuangan ini terbantut dan terhalang akibat keruntuhan nilai kepimpinan bersih dan suci akibat salah guna kuasa dan rasuah oleh pemimpin parti dan penyokong mereka yang selama ini menjadi tonggak perjuangan umat Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ibrahim, perlembagaan dan matlamat Putra juga hampir 100 peratus sama dengan Umno yang bersimbolkan tanjak melambangkan kepahlawanan Melayu dan budaya bangsa.

“Mungkinkah Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga akan ikut jejak langkah bapanya, Tun Husien Onn dan datuknya, Datuk Onn Jaafar?,” katanya.

Ibrahim berkata, adalah lebih mudah membina kekuatan dan belayar dengan bahtera baharu daripada kapal (parti Umno) yang sudah rosak teruk.

Jelas beliau, walaupun Putra masih kerdil dan kalah teruk dalam percubaan pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, namun ia adalah parti yang amat segar dari segi semangat, nama dan simbolnya.

“Kepada mereka yang kena pecat dari parti asal masing-masing, yang tidak berparti, kecewa dan tiada wadah untuk berjuang, ayuh marilah ramai-ramai masuk Putra.

“Insya-Allah, Putra juga boleh menjadi parti yang kuat, sedangkan Umno makin lesu dan terpalit dengan berbagai isu yang tidak mudah untuk dipulihkan dan payah untuk mendapat kembali keyakinan rakyat,” katanya.

Ibrahim yang dipecat daripada Umno pada 2004 menjelaskan, Putra mampu menjadi pilihan baharu bagi orang Melayu yang tidak boleh lagi mendokong parti yang sudah banyak masalah dan penyakit.

Katanya, Putra bersedia berada di belakang dan muka baharu yang yakin dengan parti itu boleh mengambil tempat dalam kepimpinan parti.

“Bagi yang sudah berada dalam Putra terutama pengasas parti ini, kami bersedia memberi laluan dan akan menyokong serta bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen