Terima KJ: PH perlu jaga kerukunan, kesepakatan dalam kerajaan perpaduan
KESEPAKATAN dalam kerajaan perpaduan perlu dijaga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan menerima bekas pemimpin Umno yang dipecat, termasuk Khairy Jamaluddin.
Menurut Anwar yang juga Pengerusi PH, keputusan untuk menerima mereka akan mengambil kira pandangan pimpinan setiap parti komponen dalam gabungan itu.
“Setakat waktu ini, masih belum ada sebarang pelawaan untuk ahli (Umno) yang dipecat itu untuk bersama PH.
“Sekiranya ada, kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Ahli Parlimen Tambun berkata, pandangan daripada pimpinan parti komponen lain perlu menjaga kerukunan dan kedamaian kerajaan perpaduan yang dibentuk antara PH dan Barisan Nasional (BN) khususnya.
Dua pemimpin Umno yang dipecat ialah Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan dan Ketua Umno Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif pula digantung keahlian selama enam tahun. – Malaysiapost