100 pasangan asnaf, mualaf lalui detik bahagia

100 pasangan asnaf, mualaf lalui detik bahagia

SERAMAI 100 pasangan pengantin asnaf termasuk asnaf mualaf melalui detik bahagia semalam apabila disatukan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana bersempena Karnival MAIWP 2023.

Majlis bertempat di Dataran Merdeka di ibu negara itu dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Kegembiraan jelas terpancar pada wajah-wajah pasangan pengantin dan saya pasti ini adalah memori indah buat para pengantin.

“Inilah matlamat sebuah perkahwinan dalam Islam, memupuk rasa cinta dan kasih sayang sesama suami isteri.

“Saling menyantuni dalam bahtera keluarga. Itu semua ibadah yang akan dicatat sebagai amal kebaikan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Dr Mohd Na’im, dalam konteks Wilayah Persekutuan, skim bantuan perkahwinan khususnya kepada asnaf telah diperkenalkan sejak tahun 2006.

Katanya, ia bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus dengan bantuan yang disalurkan antara RM3,000 sehingga RM5,000.

“Semoga Allah memberkati dan merahmati para pengantin yang diraikan,” katanya. – Malaysiapost

Komen