Anwar khianati semangat reformasi, kata Muhyiddin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengkhianati semangat reformasi dalam tempoh tidak sampai 100 hari mentadbir di Putrajaya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata prinsip tadbir urus baik telah dilanggar pada awal lagi apabila melantik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Kerajaan PH-BN pimpinan Anwar tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi. Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Zahid yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ini dilakukan semata-mata kerana ‘membalas budi’ Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi.
“Yang terbaru apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam media melaporkan, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme selain menimbulkan kemarahan pembangkang.
“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” tambah Muhyiddin lagi.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, belum terlewat untuk Anwar membetulkan kesilapannya itu dalam menyusun pentadbirannya.
“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.
“Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.
“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” tambah Muhyiddin lagi.- Malaysiapost