‘Berapa lama PM10 akan sedar menteri komunikasinya suatu liabiliti’

‘Berapa lama PM10 akan sedar menteri komunikasinya suatu liabiliti’

SAYA agak teruja membaca berita mengenai YAB Perdana Menteri ke-10 yang menunjukkan contoh kesatuan dalam satu pasukan bagi memastikan kemajuan negara. Sudah terlalu lama, sejak 2018, kita dibelenggu dengan politik tidak berkesudahan yang mengakibatkan hilangnya kepercayaan antara ahli politik dan penjawat awam.

Tidak pernah kedengaran selama ini, bahawasanya surat sokongan, yang mengandungi rahsia dalaman kerajaan, mengenai perolehan dan pemprosesan dibocorkan kepada media semata-mata untuk seteru politik memperolehi bahan politik murahan. Diakui, ketika Perdana Menteri ke-10 berada di barisan pembangkang pada waktu itu, propaganda politik sebegini diterajui oleh pakatan beliau dan dikepalai Pengarah Komunikasinya, saudara Fahmi Fadzil.

Tetapi zaman kini sudah berubah. Anwar Ibrahim pun sudah berubah. Arahan beliau untuk tidak mendedahkan aib kerajaan kepada orang ramai telah berkumandang ke seluruh ceruk jalur kuasa.

Ini lanjutan daripada insiden pada 4 Januari baru-baru ini apabila Fahmi Fadzil, menteri K-KOM, telah menegur Digital Nasional Berhad (DNB), anak syarikat Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan 5G negara kita, secara terbuka atas dakwaan berkenaan kecemerlangan pelaksanaan 5G yang mereka laksanakan.

Harus diingat, ini adalah kerjasama antarabangsa dengan pembekal peralatan 5G terulung di dunia; tidak dibelenggu oleh dakwaan pencurian harta intelek mahupun tuduhan intipan dan penyeludupan data yang dihantar kepada pelayan tentera milik kuasa besar tertentu yang kini dituduh menceroboh sempadan perairan kita.

Nampaknya Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah mula hilang sabar dan segera mengarahkan kekarutan ini dihentikan serta merta.

Malang sekali, anggota Kabinetnya ini mungkin terlepas pandang akan arahan tersebut apabila beliau secara terbuka menyalahkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pula, kerana tidak menapis secara terperinci filem kontroversi Pulau, yang dilaporkan telah menimbulkan rungutan orang ramai terhadap trelernya yang memperlihatkan gadis berbikini mendedahkan tubuh. Sekali lagi, Menteri Komunikasi ini meletakkan dirinya dalam kancah polemik tanpa sebab.

Komennya berkenaan DNB juga dilaporkan mula menarik perhatian pelabur, tatkala DNB cuba mengurangkan kebergantungan terhadap dana awam dan mengumpul modal melalui kemudahan perbankan, yang mengambil kira maklumat pasaran sebelum memutuskan untuk menyertai projek 5G negara kita – yang dijangka akan menarik pelaburan ratusan bilion ringgit terhadap petumbuhan ekonomi melalui sumbangan Objek Rangkaian Internet (ORI). Kenyataan media atau ciapan daripada seorang Menteri sebenarnya sangat berpengaruh sehingga mampu mengubah masa depan negara kita.

Begitu juga komen beliau yang melontarkan sepenuhnya tanggungjawab kepada LPF, telah menghantar isyarat bahawasanya mereka sendirian dalam menghadapi isu filem Pulau. Tapisan melampau bermakna industri perfileman kita yang nampaknya kini tidak lagi menikmati perlindungan Menteri, akan semakin sengsara dalam kebebasan kreativiti berkarya bagi mengaut keuntungan.

Saya tertanya-tanya berapa lama baru Perdana Menteri ke-10 akan menyedari bahawa Menteri Komunikasinya ini adalah suatu liabiliti.
.

Adam Sumardi
Penganalisis Media
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen