Budak jatuh tingkat 11 meninggal dunia
KANAK-KANAK lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda di Johor Bahru semalam, meninggal dunia tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Terdapat laporan polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Mangsa meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi ketika menerima rawatan di HSA,” katanya.
Semalam, media melaporkan kanak-kanak 12 tahun patah tangan kiri dan dalam keadaan selamat selepas ditemukan tersangkut di bumbung kedai di tingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.
Difahamkan, mangsa bersama beberapa kanak-kanak yang dipercayai bermain di aras 11 bangunan 15 tingkat itu sebelum terjatuh dan tersangkut pada bumbung kedai. – Malaysiapost