Cuaca dingin melanda enam negeri
CUACA dingin dengan julat suhu minimum 26 hingga 30 darjah Celcius melanda enam negeri di Semenanjung sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, negeri terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Muhammad Helmi menjelaskan, keadaan cuaca sebegitu hanya sementara dan peluang untuk berlaku hanya pada awal tahun semasa Monsun Timur Laut.
“Orang ramai tidak perlu risau sebaliknya harus bersyukur dan menikmati cuaca yang agak dingin dan nyaman itu.
“Pada masa sama, orang ramai perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui pelbagai medium sebaran rasmi MET Malaysia,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan sejak 17 Januari lalu suhu sejuk antara 18 hingga 19 darjah Celcius melanda di beberapa kawasan di daerah Sik, Kedah. – Malaysiapost