DBKL arah henti projek punca gangguan LRT

DBKL arah henti projek punca gangguan LRT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan menghentikan serta merta projek pembinaan bangunan di Jalan Raja Laut yang didakwa menjadi punca gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang, Jumaat lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata arahan dikeluarkan kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan membabitkan projek membina satu blok 44 tingkat Menara SOHO (326 unit) di Lot PT 163.

Katanya, arahan itu hasil mesyuarat diadakan pihaknya bersama wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL Sabtu lalu.

“Arahan itu dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan pihak APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenalpasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini.

“Untuk rekod, projek berkenaan kini hanya di peringkat awal iaitu membabitkan kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone),” katanya dalam kenyataan.

DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan membabitkan pihak APAD dan Prasarana.

Ia bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan keretapi (Railway Protection Zone).

Terdahulu, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandar Raya.

RapidRail berkata, hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu. – Malaysiapost

Komen