‘Isunya bukan ambil gaji atau tidak’ – DPIM
DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pertimbangan sewajarnya dalam isu pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Perdana Menteri bagi sektor ekonomi dan kewangan.
Ini kerana kata Ketuanya, Shahir Adnan, Disember lalu Perdana Menteri telah mengumumkan tentang pelantikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai ketua penasihat ekonomi di Kementerian Kewangan.
Malah katanya, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar telah melantik seorang Menteri Ekonomi iaitu Rafizi Ramli.
“Isunya bukan ambil gaji atau tidak. Isunya adalah pelantikan yang tidak kena pada tempatnya. Nurul Izzah mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik dari Universiti Tenaga Nasional.
“Kemudiannya melanjutkan pelajaran di Johns Hopkins Universiti dalam bidang Hubungan Antarabangsa (Southeast Asia).
“Situasi yang amat membingungkan jika pendapat menyatakan beliau mempunyai kelulusan untuk menjadi Penasihat Kanan Ekonomi kerana kedua-dua kelulusan tersebut tidak berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Shahir, fokus utama Perdana Menteri sepatutnya membentuk pasukan ekonomi berkaliber tanpa unsur politik demi memulihkan ekonomi negara.
Katanya lagi, lantikan politik sebegini amat bertentangan dengan semangat telus dan bersih yang dilaungkan sewaktu berkempen.
“Rakyat semestinya tidak akan marah sekiranya Penasihat Kanan Ekonomi adalah seorang yang berkelayakan seperti Tan Sri Hassan Marican,” katanya. – Malaysiapost