KJ dakwa tuduhan terhadapnya tidak adil
BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan tuduhan dibuat terhadapnya sehingga beliau dipecat daripada Umno sebagai tidak adil.
Justeru, beliau mempertahankan tindakannya mengkritik kepemimpinan Umno pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertujuan meyakinkan pengundi terhadap parti itu.
Katanya, beliau tidak mahu pengundi hilang harapan terhadap Umno berikutan di kawasan bandar sokongan terhadap parti itu semakin merosot.
Menurutnya, kenyataannya pada kempen pilihan raya itu adalah satu mesej positif yang disampaikan bagi meraih sokongan pengundi dan mengembalikan kredibiliti Umno.
“Saya tidak nampak bagaimana mesej positif seumpama itu bertujuan memahamkan orang ramai mengenai Umno dan memulihkan keyakinan umum kepada kredibiliti parti dianggap satu yang negatif.
“Saya tidak merasakan tuduhan yang dikenakan adil sama sekali apabila saya cuba menyatakan Umno dapat memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa depan dan memberitahu saya sebagai generasi baharu parti bakal mengubah dan membuat reformasi kepada Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual ketika bersiar dalam rancangan The Breakfast Grille dikendalikan saluran radio BFM.
Semalam, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa ‘Umno sesat’ ketika kempen PRU15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada parti itu.
Jumaat lalu, MKT Umno membuat keputusan memecat Khairy yang juga dan ahli MKT, Tan Sri Noh Omar, selain beberapa lagi pimpinannya digantung.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu PRU15.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun. – Malaysiapost