Lantik anak, isteri akan jadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan – Radzi
NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan hujah pihak tertentu yang ‘merestui’ Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, sekiranya perkara itu tidak dibendung, beliau bimbang pelantikan ahli keluarga di kalangan pemimpin tertinggi negara kelak akan menjadi amalan biasa dalam tadbir urus kerajaan.
“Ada yang menyatakan bahawa: ‘Nurul Izzah bukan terima gaji pun sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya?’.
“Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?
“Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?,” katanya menerusi kenyatan ringkas di Facebook.
Semalam media melaporkan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik beberapa pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mempertahankan lantikan itu kerana mendakwa ia dibuat atas dasar pelawaan dan tanpa elaun. – Malaysiapost