Luruan monsun dijangka sehingga 4 Februari

Luruan monsun dijangka sehingga 4 Februari

LURUAN monsun yang berlaku di rantau negara dijangka berlarutan sehingga 4 Februari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata ia berdasarkan analisis model-model cuaca yang telah dijalankan.

Keadaan itu katanya, berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah dalam tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan di kawasan berkenaan berkuat kuasa sehingga 1 Februari 2023.

“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung serta utara Sarawak pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan,” katanya menerusi kenyataan.

Muhammad Helmi berkata, amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikemas kini dan berkuat kuasa sehingga 31 Januari.

“Orang awam dinasihat sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – Malaysiapost

Komen