Malaysia ambil tindakan henti tuntutan waris Sultan Sulu
MALAYSIA sedang mengambil tindakan mencabar Perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte bagi menghentikan tuntutan palsu individu yang mendakwa ‘waris’ Sultan Sulu (Penuntut) di Mahkamah Luxembourg.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Malaysia dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya penahanan tersebut dilepaskan.
Katanya, walaupun mahkamah itu telah mengeluarkan keputusan untuk melepaskan penahanan yang telah dipohon penuntut pada 24 Januari lalu, tetapi Malaysia tetap mengambil tindakan yang perlu untuk menjamin kedaulatan negara.
“Penahanan tersebut telah dipohon Penuntut berasaskan ‘Final Award’ dan ‘Preliminary Award’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara, Dr Stampa, masing-masing pada 28 Februari 2022 dan 25 Mei 2020.
“Ini termasuklah berasaskan Perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte pada 18 Mei 2022 yang mengiktiraf award timbang tara yang dikatakan itu di Luxembourg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia tidak akan berhenti berusaha melindungi dan memelihara kepentingan serta kedaulatan negara dengan mengambil tindakan perlu bagi menghentikan tuntutan palsu berkenaan.
“Mahkamah Luxembourg telah menerima hujahan Malaysia bahawa penuntut telah, menurut mahkamah, dengan sengaja tidak mendedahkan alamat sebenarnya.
“Mahkamah telah mendapati tindakan penuntut untuk tidak mendedahkan alamat sebenar mereka adalah sesuatu yang penting yang telah menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin dikeluarkan terhadapnya.
“Menurut mahkamah, tindakan penuntut tersebut adalah suatu ‘kesusahan yang jelas’ yang menjejaskan Malaysia,” katanya.
Justeru katanya, ia sesuatu yang tidak mengejutkan apabila permohonan penuntut telah gagal di peringkat awal, kerana mereka secara konsisten menggunakan tipu daya dalam tuntutan terhadap Malaysia.
Terdahulu, Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon pihak terbabit.
Perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa. – Malaysiapost