Noh: ‘Demi Allah saya tak tahu’
“DEMI Allah saya tak tahu,” demikian luah Tan Sri Noh Omar yang menolak dakwaan kononnya beliau menaja calon Bebas bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu menafikan beliau ada mengupah atau menaja bekas pegawai khasnya Mohd Rosni Mastol bertanding sebaik namanya digugurkan BN.
“Demi Allah dan sumpah, saya sememangnya tidak tahu rancangan beliau untuk bertanding bebas sebelum itu.
“Saya tidak dapat menghalang beliau kerana prinsip demokrasi namun mengingatkan tentang akibat tindakannya yang akan dipecat parti,” katanya dalam satu program bual bicara bersama satu portal berita yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Noh berkata, beliau hanya mengetahui hasrat Rosni malam sebelum hari penamaan calon.
Noh dipecat daripada Umno Jumaat lalu selepas didakwa mensabotaj parti dalam PRU15 lalu apabila namanya digugurkan BN.
Bekas anggota Kabinet itu berkata ia merupakan satu daripada tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dalam notis yang dikeluarkan Lembaga Disiplin Umno.
Pada PRU15 lalu, BN mempertaruhkan Ketua Wanita Umno Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof sebagai calon kerusi yang disandang Noh sejak 1995.
Habibah bagaimanapun tewas kepada Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh kemenangan majoriti 2,180 undi.
Zulkafperi yang pernah tewas pada PRU14 lalu itu memperoleh 18,054 undi manakala Habibah (15,874) dan Siti Rahayu Baharin dari Pakatan Harapan (PH) (12,314).
“Tiada sebab untuk menaja calon bebas jika saya sendiri boleh melakukannya (bertanding).
“Kenapa perlu babitkan saya dan lebih baik saya bertanding tanpa menyuruh beliau,” tambahnya lagi.- Malaysiapost