Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak wang 11 entiti termasuk Umno

Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak wang 11 entiti termasuk Umno

PIHAK pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu yang didakwa ada kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (IMDB).

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya terhadap 11 responden termasuk Umno Pekan dan Badan Perhubungan Umno Johor.

Sembilan yang lain itu ialah Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional bahagian Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, pengarah firma penyelidikan Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

Notis pemberhentian rayuan telah difailkan pada 27 Januari lalu, lapor Sinar Harian.

Kamal Bahrin juga memberitahu mahkamah bahawa wang yang dirampas akan dikembalikan kepada responden.

Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, kemudian membatalkan rayuan itu.

Pihak pendakwaan tidak berjaya di Mahkamah Tinggi untuk melucut hak RM700,000 daripada Umno Pekan, RM100,000 daripada Yayasan PBAKM, RM628,314 daripada Jakel Trading, RM10,747,042.77 daripada Jakel Trading Sdn Bhd, RM677,872.55, daripada Badan Perhubungan Umno Johor, RM957,395.65 daripada Barisan Nasional Johor Bahru.

Mahkamah Tinggi yang berasingan juga telah menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak RM100,000 daripada Kasitah, RM3 juta milik AGA Touch (M) Sdn Bhd, sebuah firma IT, RM41,261.64 daripada Sim, pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, RM188,138.26 daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan RM4,631,602 daripada Mediaedge CIA.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 28 Mac untuk mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Umno Bahagian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Ini bagi membolehkan mereka memfailkan representasi masing-masing kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berikutan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuannya bagi 11 kes itu. – Malaysiapost

Komen