Perolehan kapal LCS dikurangkan kepada lima

Perolehan kapal LCS dikurangkan kepada lima

PEROLEHAN kumpulan pertama kapal tempur pesisir (LCS) dikurangkan daripada enam kepada lima selepas proses permohonan semula dilakukan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub, berkata keputusan itu dibuat ketika kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan LCS.

“Sememangnya asal enam tetapi ketika kita mengemukakan permohonan semula dan dibincangkan semula perkara ini, LCS kita persetujui kurangkan kepada lima saja.

“Projek LCS memang diteruskan seperti biasa. Pelaksanaannya adalah baik dan ada perjanjian tambahan keenam yang akan ditandatangani tidak lama lagi, Ini membolehkan proses seterusnya berjalan dan pembinaan dilaksanakan seperti dirancang,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan perutusan ulung selepas dilantik menjadi PTL yang ke-18 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis.

Abdul Rahman juga berharap LCS dapat diterima mengikut jadual kerana TLDM kekurangan aset berkeupayaan tinggi.

“Dengan adanya LCS ini, kita mampu untuk melaksanakan tugas-tugas dengan lebih cemerlang,” katanya.

LCS adalah projek perolehan yang digariskan di bawah Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. Mengikut perancangan keseluruhan, TLDM menggariskan keperluan 12 kapal LCS sebagai salah satu komponen penting pelan transformasi berkenaan.

Pelan 15-to-5 dirancang untuk memperkemaskan postur aset TLDM yang pada ketika itu terdiri daripada 15 kelas kepada lima.

Selain LCS, TLDM menggariskan empat kelas lain iaitu kapal misi pesisir (LMS), Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), kapal selam dan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS).

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun lalu. – Malaysiapost

Komen