Pro bono tak halalkan Anwar lantik anaknya dalam pentadbiran kerajaan

Pro bono tak halalkan Anwar lantik anaknya dalam pentadbiran kerajaan

PRO BONO bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme dan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan pelantikan anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Perdana Menteri itu bukan sahaja amat memalukan malah telah mengkhianati rakyat Malaysia.

“Adalah sesuatu yang amat memalukan,
amalan nepotisme oleh Anwar yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, pelantikan Nurul Izzah yang gagal mempertahan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu disifatkan bercanggah dengan amalan pentadbiran yang baik.

“Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah, serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah.

“Ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia,” katanya.

Hamzah menambah, pelantikan Nurul Izzah itu tidak perlu memandangkan Tan Sri Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.

Justeru, Hamzah menegaskan, Anwar perlu menarik balik pelantikan berkenaan sekali gus menghindari amalan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan.

“Perdana Menteri perlu menarik balik pelantikan ini. Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. Walk the talk please,” katanya. – Malaysiapost

Komen