Tak ada orang lain boleh bantu jaga kantung negara?, soal Wan Fayhsal
SEMUA ini tadbir urus yang buruk serta nepotisme, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) itu mengulas pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.
Menurutnya, pelantikan Nurul Izzah juga seolah-olah seperti sudah tiada individu lain dalam kerajaan perpaduan yang berkelayakan mengisi jawatan tersebut.
“Macam tak ada orang lain dalam kerajaan perpaduan/Madani yang boleh bantu Pak Syeikh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jaga kantung negara.
“Kalau Izzah nak bantu boleh tapi jangan duduk bawah pengaruh papa di PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan MOF (Kementerian Kewangan)! Carilah kementerian lain!
“Ini konflik kepentingan,” kata Ahli Parlimen Machang itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengesahkan beliau dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Ketika mengesahkan perkara itu dalam temu bual eksklusif dengan The Star, Nurul Izzah berkata, beliau memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Susulan itu Anwar selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika mempertahankan pelantikan anak sulungnya itu berkata Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun.
Sementara itu Wan Ahmad Fayhsal menyamakan pelantikan Nurul Izzah dengan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.
“Macai berhujah lantikan anak Perdana Menteri pro bono. Logik macai ini nampak “harmless” tapi mereka lupa hujah sebegi juga diguna Rosmah Mansor:
“Tapi macai-macai lupa yang kedudukan dan jawatan berdekatan dengan punca kuasa Perdana Menteri boleh terdedah untuk salah guna kuasa seperti mana Rosmah lakukan ke atas kes projek solar sekolah di Sarawak.
“Rosmah bukan pegang jawatan bergaji tapi semua ahli perniagaan tahu pengaruh beliau ke atas Najib Razak sangat besar sampai 1MDB berlaku sebab anak dia juga yang kawan dengan Jho Low,” katanya. – Malaysiapost