Tommy Thomas perlu bertanggungjawab kes ‘waris’ Sultan Sulu – Puad

Tommy Thomas perlu bertanggungjawab kes ‘waris’ Sultan Sulu – Puad

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu bertanggungjawab terhadap kejadian Malaysia hampir kehilangan rangkaian aset milik Petronas berhubung tuntutan pampasan oleh Kesultanan Sulu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ketika Tommy memegang jawatan Peguam Negara, Malaysia hilang Pulau Batu Puteh dan nyaris membayar sejumlah pampasan kepada Kesultanan Sulu.

“Apa seterusnya setelah Malaysia menang kes saman oleh waris Kesultanan Sulu. Mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah menyita aset syarikat cari gali Petronas di Azerbaijan dan Caucasus Selatan.

“Mahkamah timbang tara di Paris sebelumnya putuskan Malaysia mesti bayar pampasan sebanyak RM63.3 bilion kepada waris Sultan Sulu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, surat jawapan oleh Tommy dijadikan alasan kerana kandungannya menyatakan Malaysia kesal kerana menghentikan bayaran pampasan mulai 2013 sekali gus dijadikan bukti Malaysia mengaku salah.

“Bayaran pampasan dihentikan kerana pencerobohan Lahad Datu. 10 anggota keselamatan terkorban kerana pencerobohan itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu-individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah penahanan itu dipohon oleh ‘penuntut’ berkenaan pada 11 Julai tahun lalu.

Waris Kesultanan Sulu sebelum ini dilaporkan telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (final award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas. – Malaysiapost

Komen