TPM agih sumbangan wang ihsan pada mangsa banjir di Pitas, Kota Marudu
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melawat daerah Pitas dan Kota Marudu di Sabah yang dilanda banjir teruk, baru-baru ini.
Beliau turut menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 100 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat.
Katanya, dua daerah tersebut antara kawasan yang teruk dilanda banjir minggu lalu.
“Banyak rumah dan kawasan tanaman ditelenggami air serta banyak jalan utama dan jalan kampung rosak akibat hujan berterusan.
“Seramai 565 keluarga, melibatkan 1,363 mangsa telah terjejas akibat banjir yang melanda,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, walaupun keadaan air semakin surut, hujan dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.
“Penduduk dinasihati agar berhati-hati dan segera ke PPS sekiranya arahan pemindahan telah diterima,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi proses pasca-banjir khususnya bagi melihat jalan yang rosak.
Ujarnya, kementeriannya akan melihat rumah-rumah yang terjejas teruk akibat banjir di negeri itu untuk diambil tindakan segera. – Malaysiapost