904 ditahan dalam Op Limau
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 904 individu yang terbabit aktiviti perjudian dengan rampasan bernilai RM513,793 dalam Op Limau yang dijalankan di seluruh negara pada 15 hingga 29 Januari lalu.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata operasi khas itu membabitkan aktiviti judi dalam bangunan dan judi luar bangunan.
“Judi dalam bangunan merekodkan 650 tangkapan membabitkan 86 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM440,647.
“Selangor mencatatkan jumlah tangkapan, serbuan dan rampasan tertinggi bagi aktiviti judi dalam bangunan iaitu 134 tangkapan menerusi 17 serbuan dengan rampasan bernilai RM179,639,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, judi luar bangunan pula mencatatkan 254 tangkapan dalam 51 serbuan membabitkan rampasan sebanyak RM73,146.
“Sarawak merekodkan jumlah tangkapan tertinggi bagi judi luar bangunan iaitu seramai 59 orang dengan rampasan tertinggi pula direkodkan di Pulau Pinang iaitu sebanyak RM29,159,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 7(1) akta sama.
“Op Limau ini telah dijalankan selama 15 hari di seluruh negara bagi membanteras aktiviti perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka sempena Tahun Baharu Cina.
“PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan berlandaskan undang-undang dalam usaha menangani aktiviti perjudian,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian untuk menyalurkannya melalui Hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477. – Malaysiapost