‘Buat masa ini, Umno bukan pilihan saya selagi Zahid presiden’ – KJ

‘Buat masa ini, Umno bukan pilihan saya selagi Zahid presiden’ – KJ

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui Umno bukan pilihannya buat masa ini, terutama jika parti itu masih diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa barisan pimpinan sedia ada.

Justeru, beliau menolak untuk kembali kepada Umno selepas dipecat parti itu yang disertainya sejak 23 tahun lalu, berdasarkan senario yang berlaku ketika ini, lapor Berita Harian.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu juga kecewa dengan sikap parti itu yang dilihat enggan berubah meskipun telah ‘dihukum’ oleh rakyat berulang kali pada dua pilihan raya umum (PRU) sehingga hanya mampu menawan 26 kerusi Parlimen pada PRU15.

“Buat masa ini, mungkin tidak (kembali kepada Umno) sebab saya melihat Umno tidak mahu berubah. Selepas ‘loceng dibunyikan’ beberapa kali pada PRU14 dan PRU15 untuk Umno bangun daripada tidur, Umno tetap memilih untuk terus berkhayal dan bermimpi atas keselesaan sedia ada, walaupun sudah tinggal 26 kerusi (Parlimen).

“Dalam keadaan ini, saya berasa susah untuk saya balik kepada Umno. Oleh itu, saya pun tidak memilih untuk membuat rayuan… kerana membuat rayuan adalah pada orang sama yang (didakwa) telah membuang saya tanpa proses yang telus dan adil.

“Justeru, saya nampak Umno pada masa ini bukanlah pilihan,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk kembali kepada Umno sekiranya ditawarkan pilihan itu dalam masa terdekat.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid, memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’.

Selain itu, Umno turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff selama enam tahun.

Ditanya sama ada pendiriannya untuk tidak kembali kepada Umno akan berubah jika Ahmad Zahid berundur, Khairy menegaskan, perubahan yang perlu berlaku dalam Umno bukan hanya membabitkan jawatan Presiden semata-mata.

“Bukan soal Ahmad Zahid saja, namun kita kena melihat satu perubahan konkrit yang dilakukan. Bukan hanya soal hendak menukar Presiden, tetapi sikap pemimpin serta keberanian untuk membuat satu perubahan besar kepada parti mestilah dilihat.

“Ini semua perlu berlaku sebelum bukan saja saya tetapi juga pengundi dan rakyat biasa berasakan Umno boleh diberi kepercayaan,” katanya.

Beliau yang menyifatkan Umno kini berada pada paras tercorot dalam sejarah parti itu, bagaimanapun mengakui tidak sama sekali membenci Umno.

Sebaliknya menegaskan walau apa jua langkah yang dipilih selepas ini, sama ada menyertai parti baharu, mewujudkan parti sendiri ataupun berehat daripada politik, beliau akan tetap menyayangi Umno.

“Mana pun saya pergi, saya masih sayang Umno sebab itu parti saya. Saya tidak meninggalkan Umno, saya dipecat daripada Umno. Mana-mana pun saya pergi, cinta sejati saya tetap Umno.

“Cuma Umno yang membuang saya, pucuk pimpinan Umno yang membuang saya. Saya tidak ada pilihan sebab saya melihat Umno di bawah pucuk pimpinan sedia ada, dia tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen