Anak-beranak juga layak, kata orang kanan Nurul Izzah
PELANTIKAN Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah kuasa prerogatif Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Nurul Izzah, Amir Ghazali berkata, tiada isu nepotisme dalam pelantikan berkenaan kerana ia tidak membabitkan kuasa atau menggunakan wang rakyat.
“Keputusan Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat adalah prerogatif Perdana Menteri. Semua pihak harus memahami kuasa yang dimiliki Perdana Menteri.
“Jadi usahlah memandang Nurul Izzah anak seorang Perdana Menteri tetapi hendaklah melihat kredibiliti seseorang itu layak atau sebaliknya.
“Saya yakin bahawa pelantikan tersebut dibincangkan penuh teliti dengan mengambil kira pelbagai elemen yang mengutamakan keberkesanan di dalam melaksanakan kepelbagaian agenda negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan Nurul Izzah juga akan dilihat sebagai usaha merubah persepsi bahawa anak-beranak juga layak jika tujuannya mengumpul atau mendapatkan balik kekayaan negara untuk dipulangkan kepada rakyat.
“Lagipun Nurul Izzah bukan CEO atau Pengerusi yang ada sebarang kuasa untuk meluluskan projek, tender dan sebagainya.
“Jadi tidak timbul berlakunya kronisme ataupun nepotisme dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan jika maksud pelantikan yang dibuat demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya semua pihak terutamanya pembangkang mahupan pihak kerajaan perlu memberi ruang seluas-luasnya Perdana Menteri bukannya mendesak dan menekan.
Jelasnya lagi, kronisme atau nepotisme tidak semestinya diukur disebabkan penglibatan anak-beranak sekiranya semua pihak sedia maklum akan kebolehan dan keupayaan Nurul Izzah.
“Dalam konteks Kerajaan Perpaduan pelaksanaan pelan tindakan antara dua kementerian iaitu Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan hendaklah dilaksanakan dengan segera.
“Maka satu team yang rapat dengan Perdana Menteri harus dibentuk dan dengan melantik Nurul Izzah dianggap sangat tepat untuk memudahkan pelaksanaan pelan tindakan tersebut,” katanya.
Amir berkata, beliau difahamkan fokus kerja Nurul Izzah adalah mendapatkan maklum balas rakyat terhadap Bajet dan dasar kerajaan dan bukannya bertaraf menteri.
“Justeru, buat apa hendak menggelabah jika sekiranya pembangkang tidak melakukan apa-apa perkara yang menyalahi undang-undang. Anehnya daripada asal orang lain tak tahu semua jadi tahu.
“Jadi saya nasihatkan kepada pembangkang cermin muka dulu sebelum hendak mempertikaikan pelantikan yang dibuat Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost