‘Kebebasan bersuara jangan sampai langgar peraturan parti’ – Shamsul Anuar
KEBEBASAN bersuara sememangnya dibenarkan dalam Umno namun ia tidak boleh digunakan sewenangnya sehingga melanggar peraturan parti, kata Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, hakikatnya Umno sudah lama mengamalkan prinsip kebebasan bersuara kerana ia boleh menyuburkan parti.
“Umno sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka. Namun, kita mestilah mempunyai kebijaksanaan.
“Kebebasan kita bersuara bukan bermakna kita boleh bercakap apa sahaja hingga melanggar peraturan yang ada dalam parti.
“Tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan ahli ialah menjaga imej parti. Parti mesti sentiasa dilihat baik dimata ahli dan rakyat. Kita bertanggungjawab terhadapnya,” katanya menerusi Facebook.
Justeru katanya, kebebasan bersuara yang diamalkan Umno tidak akan bermakna sekiranya ia hanya merosakkan parti.
“(Sehingga) imej parti akhirnya dilihat tidak baik serta rosak dimata rakyat. Kerana yang akan menentukan ‘hayat parti’ kita (Umno) ialah rakyat.
“Maka, rugilah parti jika rakyat melihat imej kita terlalu buruk akibat kebebasan bersuara yang diamalkan.
“Hakikatnya tiada orang lain yang akan menjaga imej parti melainkan kita. Kita bertanggungjawab kepada parti kita,” katanya.
Jumaat lalu, MKT Umno yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan untuk memecat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’.
Selain itu, Umno turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff selama enam tahun. – Malaysiapost