KJ nafi gelojoh mahu jadi Perdana Menteri, Presiden Umno

KJ nafi gelojoh mahu jadi Perdana Menteri, Presiden Umno

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menolak dakwaan bahawa beliau terlalu gelojoh mahu menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, sehingga membawa kepada pemecatannya daripada parti itu.

Khairy menegaskan, beliau tidak gelojoh mengejar jawatan Presiden, malah turut memikirkan kemungkinan tidak bersaing menduduki jawatan nombor satu berkenaan, sekali gus bersedia memberi laluan serta menyokong calon tertentu sekiranya pemilihan parti kelak mempertandingkan jawatan terbabit.

“Bukan soal gelojoh. Saya sebenarnya belum lagi membuat keputusan untuk bertanding Presiden atau Timbalan Presiden. Dalam pemikiran saya sebelum dipecat, saya mungkin tidak pergi jawatan Presiden kali ini.

“Mungkin Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), mungkin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Saya sudah bersedia untuk memberi laluan dan menyokong mereka.

“Isunya bukan gelojoh. Isunya, saya mahu supaya pertandingan itu diadakan. Itu saja. Sebabnya, saya hendak melihat parti kita diberi kebebasan untuk memilih pemimpin.

“Namun, selepas parti mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah parti, tinggal 26 kerusi Parlimen, sudah menjadi parti Melayu nombor tiga di Dewan Rakyat selepas PAS dan Bersatu, pun tidak mahu ada pemilihan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden… saya rasa ada yang tidak kenalah,” katanya memetik Berita Harian.

Ditanya sejauh mana pemecatan itu menjejaskan sasarannya untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 10 tahun lagi, Khairy mengaku ia adalah halangan terbaru kepadanya dan beliau berkemungkinan memerlukan lebih masa untuk mengejar cita-cita memimpin Malaysia.

Namun, beliau tidak menganggapnya sebagai satu masalah kerana percaya dengan rezeki daripada Allah SWT, dan menganggap pemecatan itu sebagai lumrah dalam kerjaya politik.

“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan seorang ahli politik. Mungkin satu ketika dulu mudah tetapi selepas itu sukar. Selepas itu masuk balik kerajaan, selepas itu jatuh semula. Lepas itu masuk balik, lepas itu hilang segala-galanya.

“Apa jua andaian yang ada, saya tidak mendapat segala-galanya dengan mudah. Sudah dua tiga kali saya jatuh dan keluar, sama ada daripada Kabinet atau tidak dilantik sebagai menteri, atau kalah pilihan raya, pemilihan Umno. Bagi saya, ini sebahagian daripada perjalanan yang penuh ranjau.

“Kalau hendak jawab sejauh mana ini telah menjejaskan cita-cita saya, saya tidak pasti. Dalam politik, apabila jatuh boleh cepat. Apabila bangun pun boleh cepat.. tetapi boleh juga lambat, kita tidak tahu,” katanya.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’.

Selain itu, Umno turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun. – Malaysiapost

Komen