Malaysia – Indonesia tambah baik pengurusan pekerja asing – Saifuddin Nasution

Malaysia – Indonesia tambah baik pengurusan pekerja asing – Saifuddin Nasution

INDONESIA menyambut baik perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia serta bersetuju untuk memanifestasikannya melalui perbincangan di peringkat pegawai dalam mekanisme jawatankuasa sedia ada antara kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu dinyatakan dalam pertemuannya dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah sempena lawatan kerja rasminya selama dua hari ke Indonesia bermula Ahad lalu.

Menurutnya, dalam pertemuannya itu beliau menerangkan tentang perubahan dasar di Malaysia mengenai pekerja asing dengan merujuk kepada penjajaran pengurusan pekerja asing.

“Ini termasuklah penerangan tentang Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal untuk memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

“Selain itu, saya turut bangkitkan tentang beberapa tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera susulan keputusan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia bagi menambah baik pengurusan pekerja asing Indonesia di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia termasuklah pengurangan tempoh masa dan kos migrasi yang terkait dengan penggajian pekerja asing serta mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja asing.

“Di samping itu, perbincangan turut menyentuh hal penguatkuasaan undang-undang imigresen dan perburuhan melibatkan pekerja Indonesia, pengurusan penghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Saifuddin berkata, perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan turut dibincangkan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik.

Beliau berkata, lawatannya juga merekodkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama merentasi portfolio kementerian-kementerian tertentu.

Saifuddin berkata, lawatan singkatnya ke Indonesia adalah bagi menyusuli keputusan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo baru-baru ini.

Menurutnya, selain perbincangan dengan Ida Fauziah, beliau turut berkesempatan bertemu dengan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Prof Dr. Yasonna H Laoly serta Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian. – Malaysiapost

Komen