MB, Exco Johor kutip sampah

MB, Exco Johor kutip sampah

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan seluruh rakyat Johor diharap dapat terus memainkan peranan bagi menjayakan agenda Johor Bersih.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata agenda berkenaan dapat meningkatkan imej Johor kepada para pelabur dan pelancong.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memantau tahap kebersihan serta pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di negeri ini.

“Ia dalam membantu mencapai visi status negeri maju menjelang 2030 sekali gus memastikan kesejahteraan hidup Bangsa Johor pada masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor seawal jam 6.40 pagi tadi, turun mengejut ke Masai, Pasir Gudang, bagi memastikan kebersihan kawasan itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi

Turut serta adalah Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Asman Shah Abd Rahman dan staf Pejabat Menteri Besar Johor bergotong-royong memungut sampah bagi memastikan kawasan tumpuan awam itu bersih dan selesa.

Turut serta adalah Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Asman Shah Abd Rahman dan staf Pejabat Menteri Besar Johor

Onn Hafiz berkata, adalah menjadi tekadnya agar aktiviti sedemikian dapat diteladani dan Bangsa Johor bersama-sama menanam azam untuk mengekalkan kebersihan kawasan persekitaran masing-masing.

“Kebersihan itu bukan sahaja sebahagian daripada iman, malah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kebersihan negeri Johor secara menyeluruh pada kaca mata orang luar juga,” katanya.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya pada 22 Januari lalu, menyeru rakyat Johor mengubah gaya pemikiran dengan tidak membuang sampah merata-rata.

Titah baginda, meski kerja-kerja pembersihan dilakukan, namun pembuangan sampah terus berlaku di merata tempat.

“Tindakan sudah diambil. Saya berharap masyarakat menghormati negeri dan alam sekitar kita dan ubahlah pemikiran daripada membuang sampah merata-rata.

“Apabila saya pantau selepas kerja pembersihan dibuat, pembuangan sampah terus berlaku di setiap tempat. Tolonglah ubah sikap,” titah Tunku Ismail.

Sebelum ini Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman mendedahkan, pembuangan sampah sarap di bandar raya itu semakin membimbangkan sehingga pernah mencapai kutipan 80 tan sebulan.

Manakala purata sampah yang dikutip agensi berkenaan di beberapa sungai utama, anak sungai serta saliran parit pinjam bandar raya berkenaan pula adalah 50 tan pada setiap bulan. – Malaysiapost

Komen