Orang ramai boleh teliti penyata akaun Bersatu jika ada terima RM4 bilion
PIHAK yang menuduh Bersatu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri boleh meneliti penyata akaun parti itu bagi tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata akaun yang diaudit itu telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu.
Menurutnya, ia telah difailkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan merupakan dokumen awam yang tidak boleh ditipu.
“Untuk rekod, Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 dan letak jawatan pada 16 Ogos 2021. Kalau RM4 bilion masuk dalam akaun Bersatu selepas beliau letak jawatan hebat betullah Bersatu,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, sebagaimana amalan biasa, penyata kewangan Bersatu 2022 akan dibentangkan dalam PAT pada bulan Mac nanti, maka bolehlah sama-sama melihatnya kelak ada atau tidak RM4 bilion yang didakwa itu.
“Untuk rekod, Umno ada RM192 juta ketika akaun parti itu dibekukan pada tahun 2018. Itu mungkin baki perbelanjaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Baki ya tuan-tuan, atau “loose change”.
“Dah alang-alang tengok akaun Bersatu, mungkin elok juga tengok akaun PKR dan DAP termasuk akaun amanah (trustee account) yang dipegang bagi pihak parti jika ada,” katanya.
Menurutnya, ia kerana DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang dan PKR pula kerajaan di Selangor dan Negeri Sembilan yang sudah pasti menerima banyak dana kewangan.
“Siasatlah dari mana sumber wang yang diterima oleh parti. Barulah adil dan saksama. Kalau tengok gaya belanja pilihan raya Pakatan Harapan (PH) pun boleh tahan juga,” katanya. – Malaysiapost