Putra gesa SPRM siasat dakwaan penyelewangan dana Uitm Holdings

Putra gesa SPRM siasat dakwaan penyelewangan dana Uitm Holdings

PARTI Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) melakukan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan ketirisan pihak pengurusan hingga mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit UiTM Holdings.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, dakwaan yang didedahkan itu adalah amat serius dan tidak menyenangkannya sebagai salah seorang alumni institusi itu serta seluruh warga UiTM.

Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr Ibrahim Ali

Katannya, perkara tersebut merujuk kepada artikel akhbar Utusan Malaysia yang ditulis oleh Ahmad Fadhlullah Adnan bertajuk “Pengurusan Lemah Punca Kebajikan Pelajar Terabai”.

“Artikel ini ditulis berdasarkan keterangan sumber yang dijumpai atau dihubungi penulis bagi mendapatkan maklumbalas berkaitan kos sara hidup pelajar IPT di bandar yang semakin tinggi seterusnya membawa kepada pendedahan yang meragukan.

“Antara kenyataan yang dilihat terdapat dakwaan salah laku dan ketirisan aadalah di perenggan kelima “UiTM Holdings ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pelaburan, tetapi ia menyebabkan kita kerugian ratusan juta,

“..manakala sesetengah individu pula mengambil keuntungan untuk menjadi kaya” dan di perenggan kedua “banyak silap langkah dikesan sejak 10 tahun kebelakangan ini dalam menjana pendapatan terutamanya membabitkan bentuk pelaburan melalui badan pelaburan,..,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut membuat laporan berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, pada jam 2 petang tadi.

Sementara itu, Ibrahim berkata, beliau memohon SPRM membuat siasatan yang telus berhubung dakwaan tersebut.

Ujarnya lagi, pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan atau salah guna kuasa membabitkan dana kepentingan awam khususnya buat kebajikan para pelajar.

“Kerjasama dan komitmenn pihak SPRM secara menyeluruh amatlah saya harapkan bagi membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa mahupun rasuah yang akhirnya akan merugikan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen