Sertai sambutan Ponggal, Anwar ditegur supaya tidak silap langkah

Sertai sambutan Ponggal, Anwar ditegur supaya tidak silap langkah

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditegur supaya tidak tersilap langkah berhubung akhlak dan adab dalam beragama dan sesama rakan jiran penganut agama lain.

Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat teguran itu susulan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Parlimen Tambun itu yang menyertai upacara Ponggal baru-baru ini.

“Kepada Anwar, jangan tersilap langkah. Ini macam dah tersilap. Sama juga Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merayakan Ponggal di Rumah Hitam MUDA tempoh hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai dalam upacara Ponggal

“Jangan ulangi kesilapan ini sewaktu Thaipusam seperti mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lakukan terdahulu sewaktu Thaipusam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata teguran dibuatnya itu bukanlah teguran politik, tetapi peringatan sebagai saudara seIslam.

“Mohon para ulama menasihati dengan baik batas-batas menyantuni penganut agama lain dalam menyambut perayaan.

“Semoga Allah menjaga akhlak dan adab kita dalam beragama dan sesama rakan jiran penganut agama lain,” katanya.

Beliau turut berkongsi pautan artikel yang diterbitkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 29 Januari 2019 mengenai muslim menyertai pesta Ponggal.

Berdasarkan artikel itu, para ulama sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan Muslim adalah haram dan Ponggal kini sudah dianggap sebagai tradisi yang merentas agama di sesetengah tempat di dunia.

Namun tidak menafikan wujudnya unsur-unsur keagamaan sebagaimana sambutannya dalam kalangan masyarakat Hindu di Malaysia.

Islam juga terbuka dalam menerima apa-apa sahaja pengamalan dalam sistem kepercayaan yang disebutkan, yang tidak bercanggah dengan akidah dan tidak melibatkan amalan ritual.

Ulama juga berpandangan bahawa sekiranya ada keperluan, pemimpin Muslim boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan.

Selain itu, dibolehkan bagi umat Islam terlibat dalam acara memasak Nasi Susu yang dianjurkan dalam pesta Ponggal sekiranya hanya melibatkan keluarga, pertandingan atau sebagainya yang tidak disertai unsur agama. – Malaysiapost

Komen