Surat gantung keahlian Umno tidak nyata sebab hukuman – Hishammuddin
AHLI Parlimen Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, surat rasmi penggantungan keahlian Umno ke atasnya tidak menyatakan sebab hukuman berkenaan dijatuhkan.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Hishammuddin yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) memaklumkan beliau baharu sahaja menerima surat rasmi berkenaan bertarikh 30 Januari, hari ini.
“Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian Umno saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, bekas Menteri Pertahanan itu turut memuatnaik surat berkenaan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Surat berkenaan memaklumkan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Januari telah memutuskan menggantung hak keahlian Hishammuddin di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan Umno.
Menurut surat berkenaan, ia dilakukan kerana Hishammuddin didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.
Namun, tiada perincian lanjut dinyatakan berhubung sebab hukuman berkenaan dikenakan terhadap Hishammuddin dalam surat berkenaan.
“Penggantungan ini adalah selama tempo enam tahun bermula daripada 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi Umno,” tulis surat itu.
Jumaat lalu, mesyuarat MKT Umno memutuskan untuk menggantung keahlian Hishammuddin; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.
Selain itu, Umno turut memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’. – Malaysiapost