Tiada siapa pertikai lantikan Mohd Hassan – Idris Ahmad

Tiada siapa pertikai lantikan Mohd Hassan – Idris Ahmad

TIADA siapa mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai Ketua Penasihat Ekonomi di Kementerian Kewangan.

Sebaliknya ramai yang bersuara, apabila Anwar melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.

Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, berkata ia kerana kredibiliti Mohd Hassan sudah terbukti dan teruji.

“Tidak ada siapa pun pertikai pelantikan Tan Sri Hassan sebagai penasihat, terbukti dan teruji.

“Panas tak apa, jangan koyak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menyindir tindakan diambil Anwar yang dilihat melantik sesiapa sesuka hati kerana beliau kini Perdana Menteri.

“ISA, ‘ikut suka aku’. Aku PM, peduli apa, aku hendak lantik siapa,” sindirnya.

Media sebelum ini melaporkan, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.

Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme dan kronisme selain menimbulkan kemarahan pembangkang. – Malaysiapost

Komen