Ustaz Abdullah Khairi pula digam?

Ustaz Abdullah Khairi pula digam?

PENCERAMAH bebas, Abdullah Khairi Harun mendakwa beliau kini disekat untuk menyertai dua program di Kuala Lumpur membabitkan Forum Perdana Ehwal Islam.

Dalam hantaran di laman media media sosialnya, Abdullah Khairi turut memuatnaik poster program berkenaan yang memaparkan wajahnya dipangkah.

Poster berkenaan, memaklumkan mengenai program Forum Perdana Ehwal Islam bertarikh 1 Februari 2023 yang turut disertai penceramah seperti Haslin Baharin yang dikenali sebagai ustaz Bollywood dan Datuk Mohd Izhar Arif Kashim serta dihoskan Zakaria Othman.

Beliau juga sempat menyindir pihak terlibat yang disifatkan takut kepada bayang-bayang, bagaimanapun tidak menyatakan sebab dirinya disekat.

“Dua program dah kena gam! Haaaa takut pada bayang bayang. Dua bulan aku di Mekah.

“Masjid Kampung Baru KL dan Masjid Al Najihin KL…bye bye!,” katanya di Facebook dan Instagram.

Pada Disember lalu, pendakwah Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah turut melahirkan rasa kesal apabila beliau disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menafikan beliau mengeluarkan arahan bagi menyekat pendakwah berkenaan daripada muncul di kaca televisyen. – Malaysiapost

Komen