40 pemain dipanggil sertai kem latihan menjelang Piala Asia B-17

40 pemain dipanggil sertai kem latihan menjelang Piala Asia B-17

SERAMAI 40 pemain dipanggil menyertai Kem Latihan Pusat Fasa 1 Skuad Bola sepak B-17 Kebangsaan Menjelang Piala Asia B-17 2023 di Thailand.

Pemain-pemain berkenaan dipanggil oleh Ketua Jurulatih Skuad B-17 Kebangsaan, Osmera Omaro bagi kem latihan pusat dan pemilihan Fasa 1 bermula hari ini, hingga 12 Februari 2023.

“Latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Pahang sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-17 2023 di Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023,” menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan FAM itu, pemain yang dipanggil adalah membabitkan 26 pemain AMD, lapan pemain Johor Darul Ta’zim lV (JDT lV), serta masing-masing seorang pemain daripada Skuad Projek FAM-MSN, Terengganu FC lV, Akademi Felda, SSN Pahang, SMK Cabang Empat Kelantan dan Melaka FC.

“Skuad kendalian Osmera berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 selepas muncul juara Kumpulan B pada saingan kelayakan di Jakarta, Indonesia, Oktober lalu.

“Kelayakan itu selepas meraih tiga kemenangan iaitu ke atas Palestin 4-0, UAE 3-2 dan Indonesia 5-1 serta satu seri iaitu dengan Guam 1-1,” menurut FAM lagi. – Malaysiapost

Komen