Agensi umrah bolot tiket penerbangan akan dibatalkan lesen

Agensi umrah bolot tiket penerbangan akan dibatalkan lesen

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen agensi umrah jika didapati membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan ke Tanah Suci.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kerana ia menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.

Beliau berkata, timbalannya Khairul Firdaus Akbar Khan yang diarah menyiasat perkara itu sudah menyelesaikan siasatan berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun katanya, beliau belum menerima laporan lengkap daripada hasil siasatan itu dan dijangka memperolehnya esok.

“Semalam beliau (Khairul Firdaus) baru selesai menjalankan siasatan itu dan saya perlu menemuinya untuk mendapatkan butiran penuh hasil siasatan terbabit.

“Saya akan balik (ke Kuala Lumpur) hari ini…tengoklah kalau esok ada peluang sebelum saya berangkat ke Asean Minister Forum di Indonesia, saya akan bertemu beliau,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sesetengah agensi umrah di negara ini membolot tiket penerbangan untuk ke Tanah Suci, yang menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.

Terdahulu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, mendakwa terdapat pihak menjual tiket penerbangan ke Makkah sekitar RM4,800 hingga RM5,000 berbanding harga semasa RM2,700 hingga RM2,800.

Menurut PAPUH, agensi terbabit hanya membayar sekitar 10 peratus deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan.

Keadaan itu menyebabkan agensi umrah terutama yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot. – Malaysiapost

Komen