Akaun Bersatu Pahang tidak dibeku
SEMUA transaksi membabitkan akaun Bersatu Pahang masih aktif dan tidak dibekukan, kata Timbalan Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus.
Beliau berkata, semua urusan dan operasi parti itu di peringkat cawangan dan bahagian di Pahang berjalan seperti biasa.
“Semuanya normal, akaun (bank) kami masih aktif. Saya tidak pasti tempat orang lain, tapi di Pahang akaun kami tidak ada masalah.
“Lagipun saya hanya boleh bercakap bagi negeri Pahang sajalah, saya tak pasti (keadaan) di tempat (negeri) lain,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.
Media hari ini melaporkan akaun Bersatu dibekukan sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya kepada umum.
Pembekuan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Kata Azam, akaun parti berkenaan dibekukan sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Pada awalnya pembekuan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana dana rangsangan kerajaan – berjumlah RM92.5 bilion – semasa pandemik Covid-19 dan didakwa diselewengkan.
Bagaimanapun sumber SPRM yang enggan dikenali berkata, pembekuan dibuat bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.
Sumber itu berkata, jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta.
Mohd Yazid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar berkata, pembekuan akaun parti itu mungkin ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Macam-macam (andaian) kita boleh buat, mungkin ada kaitan dengan PRN, mungkin tidak, tapi kita lihat benda ini (pembekuan akaun bank) tidak menjejaskan kekuatan dimiliki Bersatu ketika ini,” katanya. – Malaysiapost