‘Aliff Aziz, Sophia hanya bercinta dalam watak sahaja’ – Pengarah

‘Aliff Aziz, Sophia hanya bercinta dalam watak sahaja’ – Pengarah

“SAYA tidak mahu campur urusan peribadi mereka. Tapi setahu saya, kedua-duanya tidak ada apa-apa hubungan,” kata pengarah drama terkenal, Osman Ali.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai hubungan yang wujud antara pasangan hero heroinnya, Sophia AlBarakbah dan Aliff Aziz sehingga menimbulkan kekecohan sejak pengakuan panas Bella Astillah, Ahad lalu.

Jelasnya, dia langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu selain tidak melihat petanda ‘pelik’ membabitkan Sophia dan Aliff ketika berada di lokasi penggambaran naskhah ‘Ku Akad Kau Dengan Bismillah’.

“Apa yang saya lihat, baik Sophia mahupun Aliff, mereka bekerja secara profesional ketika berada di set penggambaran,” katanya memetik Kosmo Online.

Osman berkata, dia tahu tentang pengakuan yang didedahkan oleh isteri Aliff, Bella tentang seorang aktres yang bergandingan dengan suaminya dalam sebuah drama mengakui menyukai Aliff secara terbuka kepadanya.

“Namun, saya tidak tahu pelakon yang Bella maksudkan itu siapa. Saya tidak mahu menuduh sembarangan, takut jadi fitnah nanti,” katanya.

Ketika disoal tentang kelakuan antara Sophia dan Aliff ketika berada di lokasi penggambaran, Osman berkata dia tidak melihat ada masalah antara kedua-duanya.

Katanya, kemesraan yang ditonjolkan antara kedua-dua pelakon itu hanya ketika bekerja demi penghayatan watak masing-masing.

“Saya tidak nampak ada masalah antara mereka berdua. Mereka cuma berlakon sahaja dan perlu menyukai sesama sendiri.

“Kalau berlakon bercinta, kena betul-betul bercinta. Tapi perasaan suka itu tidak perlu dibawa sehingga keluar set penggambaran. Hanya dalam watak sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Osman mengakui berasa sedikit hairan dengan berita yang dilaporkan tentang Sophia, sekali gus menolak sengaja mahu mencipta cerita sebegitu untuk meraih publisiti drama yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Saya hairan dengan berita yang dilaporkan. Kami tidak buat publisiti untuk drama ini. Bagi saya, itu satu perkara yang tidak sepatutnya dijadikan bahan cerita sebab boleh merosakkan reputasi pelakon.

“Jadi tidak adil bagi mereka kerana masing-masing sedang bekerja. Mereka suka hanya dalam lakonan sahaja.

“Saya tidak nampak antara Sophia dan juga Aliff, mereka ada hubungan peribadi. Memang tidak ada. Jadi saya harap cerita ini dihentikan,” katanya.

Terdahulu, nama Sophia mejadi ‘hangat’ selepas Bella mendedahkan seorang heroin sebuah drama mengakui menyukai Aliff selepas mereka bergandingan dalam sebuah naskhah.

Tanpa mendedahkan nama, Bella bagaimanapun menasihatkan aktres tersebut menjaga maruah diri sebagai seorang wanita dan berhenti mengganggu lelaki berstatus suami orang. – Malaysiapost

Komen