Anwar tak senang nak makan, ‘diganggu’ Hannah Yeoh

Anwar tak senang nak makan, ‘diganggu’ Hannah Yeoh

DEDIKASI yang ditunjukkan Menteri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerima pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Anwar ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 secara berseloroh berkata, beliau tidak dapat menikmati makanan dengan tenang pada majlis berkenaan kerana sering ‘diasak’ Ahli Parlimen Segambut itu.

“Tadi saya nak makan susah, Hannah Yeoh terus berikan asakan pada saya. saya nak fokus untuk makan,” kata Anwar.

Menurut Anwar, sikap Hannah itu adalah satu contoh seorang Menteri yang baik ‘dedicated’ dan fokus.

“Sebab itu saya pilih dua tokoh muda Hana dan Adam Adli untuk mengemudi KBS, selain sebagai satu cabaran kepada tokoh muda dan belia bagaimana mengendali bidang sukan.

“Mereka sudah tentunya terpaksa hadapi karenah pemimpin dan pengendali persatuan sukan kerana semuanya banyak pengalaman untuk bantu pegawai kementerian, jadi saya ucap ‘good luck’ kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Hannah menerusi hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana memberi kepercayaan kepadanya dan Adam mengemudi KBS.

“Saya tak ganggu PM Anwar Ibrahim makan. Terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya dan Adam Adli. Kami akan usahakan yang terbaik untuk KBS Malaysia,” katanya.

Dalam hantaran berasingan juga, Hannah turut menzahirkan rasa bangga kerana diberi peluang berkhidmat bersama Perdana Menteri.

“Kadang-kadang, saya masih tidak percaya bahawa gadis biasa dari Subang Jaya ini akan diberi peluang untuk berkhidmat bersama Perdana Menteri Malaysia,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen