Azizulhasni, Pandelela dinobat Olahragawan, Olahragawati 2021

Azizulhasni, Pandelela dinobat Olahragawan, Olahragawati 2021

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 semalam.

Kejayaan tersebut menyaksikan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu memegang anugerah berkenaan buat kali kelima selepas merangkul anugerah berprestij itu pada tahun 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020.

Kejayaan terbesar Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman ialah mengharumkan nama negara di pentas Olimpik Tokyo 2020 apabila berjaya merangkul pingat perak dalam acara keirin.

Azizulhasni juga merangkul emas pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Jincheon, Korea selain meraih emas acara keirin pada siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand.

The Pocket Rocketman menewaskan empat pencabar lain iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (badminton), Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) serta Syarifuddin Azman (permotoran dua roda).

Sementara itu, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawati buat kali keempat dalam kariernya sekali gus mengulangi kejayaannya yang pernah merangkul anugerah itu pada 2011, 2013 dan 2015.

Antara kejayaan terbesar Pandelela pada 2021 ialah meraih emas dalam acara 10 meter (m) platform individu di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Jepun.

Pemenang Olahragawan dan Olahragawati Kebangsan menerima piala, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Anwar dalam hantaran di Facebooknya melahirkan keyakinan bakat dan kegigihan atlet mampu dilonjakkan dengan lebih baik sekiranya ia didukung dengan perencanaan kebijakan yang baik.

“Saya amat yakin sekiranya bakat dan kegigihan mereka ini didukung dengan perencanaan kebijakan yang baik, ia mampu melonjakkan prestasi serta komitmen atlet-atlet kita dalam bidang sukan yang diceburi.

“Sekalung penghargaan dan salut saya kepada semua yang menerima anugerah hari ini dan juga yang lain yang terus komited mengharumkan nama negara melalui arena sukan,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen