Buruh pukul isteri dengan topi keledar dipenjara 15 bulan
SEORANG buruh kampung yang memukul isterinya dengan topi keledar minggu lalu dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di Gua Musang, Kelantan, hari ini.
Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Shamsuri Rokman Yusuf, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul isterinya, Siti Norhashikin Che Mat, 35, menggunakan topi keledar pada bahagian kepalanya di hadapan sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 kira-kira jam 5 petang pada 25 Januari lalu.
Mohd Shamsuri didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.
Terdahulu, Ahmad Firdaus dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan terhadap tertuduh kerana perlu bekerja untuk menyara ibu dan lima orang anaknya.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara selama 15 bulan terhadap Mohd Shamsuri bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 28 Januari lalu.
Sebelum ini, tular rakaman seorang lelaki yang sedang duduk di atas motosikal bertindak memukul wanita dipercayai isterinya dengan topi keledar.
Kejadian tersebut dirakam orang awam yang berada di kawasan itu sebelum tular di media sosial. – Malaysiapost
Foto kosmo online