DBKL komited tingkat peluang perniagaan kepada warga kota

DBKL komited tingkat peluang perniagaan kepada warga kota

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur terus komited meningkatkan peluang perniagaan dalam menyokong rantaian nilai ekonomi khususnya bagi penjaja serta peniaga kecil dan sederhana.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kemudahan untuk menjalankan perniagaan dapat dilihat menerusi platform permohonan lesen yang efisien serta penyediaan kawasan perniagaan bersesuaian.

“Selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia Madani, Kuala Lumpur menjadi pencetus ekonomi penting dengan daya tarikan tersendiri serta usaha kelestarian yang pelbagai,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini.

Menurutnya, selain itu, aspek keselamatan juga terus diutamakan DBKL sejajar dengan aspirasi pembangunan bagi bandar raya Kuala Lumpur.

“Visi DBKL untuk semua telah dizahirkan menerusi usaha menaiktaraf, penghijauan serta mewujudkan laluan pejalan kaki yang menyeluruh.

“Dalam mencapai aspirasi neutral karbon pula, Kuala Lumpur antara peneraju usaha kelestarian yang melibatkan kelancaran laluan trafik sehingga sistem pengangkutan yang efisien dan mesra alam,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata, DBKL memberi jaminan untuk berpegang komitmen dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penghuni bandar Kuala Lumpur. – Malaysiapost

Komen