DUN Kedah dijangka bubar lepas 18 Jun
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah dijangka dibubarkan selepas pertengahan Jun depan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beberapa faktor termasuk Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.
“Seperti saya pernah sebut, bulan tiga (Mac) dengan bulan empat (April), puasa dan raya. Lepas tu orang pergi haji, tunggu orang balik haji dan yang penting di Kedah ini, pada 18 Jun ada keputeraan Tuanku Sultan Kedah, lepas itu baru boleh buat apa yang patut,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PAS membuat keputusan untuk menentukan sendiri tarikh pembubaran DUN di tiga negeri yang ditadbir iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, tanpa membabitkan perbincangan dengan tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berharap, negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dapat membubarkan DUN masing-masing bersama tiga negeri PAS supaya PRN dapat diadakan serentak di semua enam negeri.
“Perbincangan secara tidak rasmi dengan negeri lain ada, macam saya tanya Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun), bukan dia sengaja nak bubar DUN pada Mei tetapi 1 Jun DUN terbubar sendiri.
“Jadi, mahu tidak mahu dia kena bubar pada Mei atau selewat-lewatnya 31 Mei. Jadi kalau nak disekalikan PRN kena buat dalam tempoh 60 hari, jadi negeri lain dalam tempoh itulah, di antara 1 Jun hingga 31 Julai. Secara tak rasminya macam itulah,” katanya. – Malaysiapost